Ahad, 30 Oktober 2011

Esok Bukanlah Semalam

Semalam,hari ini dan esok tak pernah pun hilang dari hidup kita, meskipun semakin berjalan waktu, semakin jauhlah ia.. Namun, bekas-bekasnya sentiasa ada.. Selagi kita bernyawa kita berada di sini, di tempat kita pada hari ini pun kerana peristiwa semalam dan kita berada di mana-mana jua pada esok hari pun kerana peristiwa hari ini.. Adakalanya, semalam itu lebih besar nilainya buat seseorang berbanding esok.. Semalam itu mendewasakan sedangkan esok me"remaja"kan.. Semalam makin bertambah sedangkan esok semakin berkurangan..

Hari ini dan esok, jangan pernah mahu mengaku kalah,jangan kerana hati disakiti.. Kita ingin musnahkan hidup kita.. Kembali pada niat asal cita-cita kita, apa yang ingin kita gapai dalam hidup, cari semula kekuatan dalam diri,bina semula jiwa yang terluka dengan kekuatan baru.. Orang yang selalu sabar,tak pernah berputus asa walaupun apa yang dihadapinya itu menyakitkan, akan selalu mendapat keuntungan dan kebahagiaan di akhirnya.

Hidup kita akan selalu dan tetap positif walaupun sakit bila kita diuji, walaupun pedih bila hati kita disakiti seandainya kita menerima segala takdir yang menimpa.. Semakin kita menghayati nilai takdir dengan kacamata iman, akan membawa kita semakin hampir pada Maha Pencipta.. Di kala itu, pintu kebahagiaan pasti akan terbuka untuk kita.. Apa yang kita lalui sebenarnya kita tak pernah bersendirian tapi DIA selalu bersama kita..

Andai kita melalui kehidupan hanya dengan menghadap ke arah hadapan tanpa menghadap ke arah belakang bererti kita tidak menghadap ke mana-mana arah sama sekali.. Sebab yang berlalu itu pelajaran.. Orang yang tak tahu menghargai hari yang telah berlalu, nescaya dia takkan tahu menghargai hari yang akan datang.. "Masa hadapan" dibina dengan "masa silam" kerana semalam juga adalah sebahagian daripada hari esok.. Mungkin ada yang mengatakan,'Awak dah berubah,tak seperti dulu'...

Hanya mampu tersenyum,tak perlu kata apa-apa.. Yang penting,cuba kembali membina jiwa, berubah ke arah lebih baik, lebih matang, lebih dewasa.. Kita berusaha untuk bina kekuatan jiwa, kata seorang sahabat.. "Semua orang berusaha.. Namun,natijah usaha itu tetap apa yang telah ditentukan oleh Allah.. Maka,redhalah dengan setiap ketentuanNya.. Andaikata seseorang ditakdirkan miskin oleh Allah misalnya, adakah dengan bersifat tidak redha terhadap ketentuanNya terhadap takdir tersebut boleh menyebabkan dia menjadi kaya?"..

Setiap orang pernah terluka hatinya, sebab itu satu perasaan yang DIA kurniakan dalam tiap-tiap diri manusia.. Kecewa atau dikecewakan, semuanya memberi kesan kepada kita.. Mungkin bila kita kecewa atau dikecewakan, dapat melembutkan jiwa kita yang ego selama ini.. Ataupun apa saja hikmah yang terkandung di sebalik anugerah kurniaanNya itu.. Sunnatullah dalam kehidupan ini dipenuhi dengan seribu satu ujian.. Sebab itu hidup duniawi ini terlalu sempit untuk mencari makna kebahagiaan sejati padanya melainkan orang yang bergantung padaNya.. Kebahagiaan hakiki takkan hadir daripada kepuasan dalam mengikut kehendak diri sendiri tapi ia hanya hadir daripada kepuasan dalam mengikut kehendakNya..

Semalam bukannya hari ini dan hari ini bukannya esok.. Tapi semalam,hari ini dan hari esok semuanya ada pengertian tersendiri untuk kita hayati...

... Ibu Nora ...
30/10/2011.. 1044

Ahad, 16 Oktober 2011

Biarkan Angin Itu Berlalu

Kita berpaling ke belakang seketika.. Luka semalam seakan akan tak mungkin sembuh.. Tanah yang kita pijak seakan akan masih basah kerana hujan kemarin.. hurm.. Mengapa mesti menoleh kalau sudah tahu ia tak akan kembali.. Seharusnya kita sedar bahawa hidup bukan lagi untuk semalam.. Tapi untuk hari ini dan esok.. Semalam biarkan saja pergi.. Ia sudah menjadi guru.. Agar kita belajar sesuatu darinya .. Sekurangnya kegagalan semalam memberi kita nafas baru untuk kembali berdiri hari ini.. Nafas harapan supaya terus melangkah untuk esok...

Wahai diri yang gagal.. Ingatlah ketika kita terduduk.. Jalan untuk bangun sentiasa akan ada .. Terus meratapi kegagalan tidak akan mengembalikan apa apa.. Sebaliknya kita harus mengumpul kekuatan baru untuk bangkit semula... Dihujung terowong pasti ada cahaya.. Yakinlah kerana selain keazaman belajar dan usaha yang berterusan, doa serta tawakal, KEYAKINAN adalah kunci kejayaan.. Orang yang berjaya bukanlah mereka yang tidak pernah gagal tapi mereka bangun dan belajar daripada kegagalan.. Dan mereka tidak pernah menyerah kalah.. Mereka cuba dan terus mencuba.. Mereka bukan manusia luarbiasa tapi manusia biasa yang semakin di uji menjadi semakin kuat, tabah, gigih, berani dan akhirnya berada di puncak.. hmmm...... Diri ingin menjadi seperti mereka.. Berikan diri kekuatan itu Tuhan ...

Wahai angin... Terima kasih kerana membawa kedukaan semalam berlalu bersamamu.. Wahai diri.. kita hidup bukan untuk gagal.. Gagal sekali tak bermakna akan gagal selamanya.. Lupakan kegagalan semalam.. Teruskan kehidupan hari ini.. Dan esok biar Tuhan yang tentukan..

~ never say never! ~

... Ibu Nora ...
15/10/2011... 2318

Ahad, 9 Oktober 2011

Berpijak Di Bumi Nyata

Perkhawinan.. Satu alam yang saya percaya semua orang mengimpikannya.. Bukan setakat bahagia tetapi juga mendapat keredhaanNya.. Tetapi sebenarnya dalam alam perkahwinan , apa yang kita mahu?...

Semasa kita bercinta, saling merindu, mengimpikan satu ketika nanti kita akan hidup bersama, apa yang kita harapkan?.. Seorang gadis kepada tunangnya?.. Seorang lelaki kepada bakal isterinya?.. Apa yang ada dalam impian masing-masing tika itu?..

Saat lelaki menggenggam kemas tangan kadi, berdebar untuk menyahut akad, tentunya tertanam azam untuk memulakan bahtera rumah tangga yang indah dan damai, penuh mawaddah dan rahmah..

Tatkala dara menanti dengan penuh resah, saat sah nya dia menjadi seorang isteri, tentu dalam dadanya, terdetik semangat untuk menjadi seorang isteri yang paling baik buat seorang lelaki yang kini bergelar suaminya.. Lalu, bila masa berlalu.. tahun berganti tahun, apa sebenarnya yang telah berlaku?

Mengapa impian, azam, semangat itu telah kian pudar atau hilang sama sekali?.. Yang tinggal hanya pandangan duka, niat untuk berpisah, perasaan terluka, rasa rendah diri, merasa seperti sampah di mata pasangan.. seolah olah bahagia itu sesuatu yang jauh.. Tak akan mungkin kesampaian.. Masing-masing nampak silap dan salah pasangannya.. Merasa ketakupayaan diri untuk membetulkan haluan bahtera yang telah tersimpang jauh dari landasan mawaddah dan rahmah ALLAH. merasa seolah melalui hari-hari bersama kerana itulah yang perlu di buat..

Bangun pagi, buka mata, kemudian buat apa yang perlu dibuat.. Tanpa ada lagi tautan hati dengan pasangan.. Jiwa mudah tersentuh.. Hati mudah terluka, perasaan mudah tersisih.. Memandang pasangan bukan lagi dengan pandangan kasih.. Sebaliknya dengan hambar dan tawar.. Kekadang hati mahu mendekati tetapi pasangan pula membina benteng.. Sehingga rasa benteng itu tak akan dapat diruntuhkan.. Akhirnya jiwa makin jauh..

Lalu, bagaimana mahu dilakukan?.. Tahukah sebenarnya bahawa bahagia itu bermula di hati?.. Siapa yang berkuasa atas hati kita?.. Sekiranya kita dapat menjawab soalan ini, sesungguhnya jalan kebahagiaan itu sudah ada, cuma belum diterokai.. Apabila kita mampu meletakkan jawapan itu dalam pengamalan kita, barulah penerokaan kebahagiaan dalam tangan kita, dan insyaAllah bahagia milik kita..

Hati itu milik ALLAH.. TerserahNYA mahu meletakkan bahagia itu di dalam hati hambaNYA, cuma satu perlu kita ingat.. ALLAH tak akan merubah nasib sesuatu kaum melainkan dirinya sendiri yang mengubahnya.. belajarlah mencari jalan itu dengan kekuatan doa..

... Ibu Nora ...
09/10/2011... 1132

Khamis, 6 Oktober 2011

Aku Bersujud Pada MU

Ya Allah.. Yaa Robb sekalian alam.. Sungguh Dahsyat dan Luar biasa Kebesaran dan Keajaiban MU ya ALLAH.. Betapa kotor dan buruknya diri hina ini hingga membuat tak kuasa ku menggangkat kepala memandang MU.. ya ALLAH.. tertunduk wajahku merona memerah tersipu sendiri..

Betapa sungguh malunya diri hina ini untuk berkata kata kepada Mu.. ya ALLAH.. Tetapi sungguhlah kepada siapa lagi aku harus mencurahkan isi hati gelisah duka laraku.. Engkau Maha Pemelihara.. Maha Mengetahui dan Maha dari sekian Maha.. Tanpa ku pinta.. tanpa ku mohon.. kau pelihara aku dan keluargaku dari pagi hingga malam menjelang datang..

Ya ALLAH.. Ya Robb.. sebelum aku meminta sesuatu untuk diriku engkau sudah memberikannya.. Engkau sudah menyediakan semuanya.. sungguh membuatku semakin tersipu sipu malu melihat Kebesaran dan Keajaiban MU ya ALLAH.. Bagaimana aku bisa kecewa dan gelisah gundah gulana jika Engkau selalu menghibur dan menyapaku mesra dengan segala kelembutan dan kerinduan MU.. ya ALLAH.. Bagaimana aku bisa merasa letih dan berbeban berat apabila dengan MU selalu terukir CINTA dengan pena Kasih Sayang meraih diriku.. mengambil beban dari pundakku.. ya ALLAH..

Yang tertinggal dalam diri hanyalah tangis sujud syukur nikmat dan penyerahan diri kepadaNYA.. tersungkur lemah tiada daya upaya.. Dalam kelemahan sangat sapaan itu terasa menggetarkan sang diri terbang melayang hilang kesedaran.. SubhanAllah.. Aku bersujud pada Mu Ya Allah

... Hamba Mu ...
06/10/2011... 2304



Lenyap dalam pelukan Kebesaran dan Keajaiban ALLAH

Warkah Buat sahabat

Sahabat ku...

Sebenarnya ingin ku menulis sebuah warkah kepada kamu meluahkan segala isi hati, menceritakan segala masalah yang dihadapi dan ingin mendengar setiap pujukan yang ikhlas terbit dari hati.. Namun apakan daya, hanya diri ini mampu meluahkannya di sini..

Sahabat, fahamilah.. Diri ini sering melakukan kesilapan, sering ingin memperbaiki diri, namun tidak pernah tetap dalam kata kata.. Diri hanyalah sahabat yang serba kekurangan dari segala segi.. Setiap sifat dan tingkah laku yang ada, diri merasa amat memerlukan bimbingan dan teguran daripada kamu...

Allah mengurniakan diri sahabat kerana inginkan banyak hikmah buat hambaNya.. Mungkin sahabat dicipta sebagai pendokong dan penyokong ketika diri dalam kelemahan, menjadi teman di kala diri ingin berkongsi keriangan, menjadi cermin dalam segala perbuatan.. Jadilah untuk ku wahai sahabat, cermin yang memantulkan segala yang tersembunyi dalam diri ini, cermin yang bersih dari segala kekotoran.. Cermin yang sentiasa bersama-sama dalam setiap masa dan setiap waktu..

Akir kalam

Maafkan diri ini sahabat.. Di atas segala ketidak sopanan dalam persahabatan dan juga maaf di atas segala tindakan serta kata-kata yang mengecewakan dan menyakitkan.. Ketahuilah.. Sayangnya diri ini kepada kamu, seumpama sayangnya diri ini kepada dirinya sendiri….. Moga Allah mengurniakan nikmat persahabatan keranaNya kepada kita yang menjadi asbab kepada redha Allah kepada kita jua.. Ukhuwwah fillah.. Aamiin.. Wassalam..

Salam Ingatan

... Ibu Nora ...
06/10/2011... 1044

Rabu, 5 Oktober 2011

Tarbiyyah Allah Itu Indah

Setiap orang pasti ada titik-titik dalam hidupnya yang meninggalkan kesan besar dan membawa perubahan besar kepada dirinya.. Alhamdulillah, pertemuan aku dengan sebuah dunia sukar tapi indah yang bernama tarbiyyah ini banyak sekali memperkenalkan aku kepada manusia-manusia biasa yang penuh kisah-kisah luar biasa dalam hidup mereka.. Aku selalu memberitahu hati ku bahawa Allah swt tidak akan pernah membiarkan satu detik pun dalam hidup kita itu berlalu sebagai sesuatu yang sia-sia.. Walaupun, ketika itu kita sedang melakukan perkara yang paling sia-sia dalam hidup kita, saat ia telah berlalu, dan kita menyesalinya, menjadilah detik sia-sia itu detik yang bermakna dan berharga sekarang, kerana ia mencetus taubat dan tekad untuk memperbaiki keadaan.. Kerana Allah swt adalah Al-Khaliq yang menjadikan segala sesuatu dalam sebaik-baik rupa dan keadaan.

Kerana itulah seorang mukmin itu meyakini bahawa jalan hidupnya dan segala onak duri yang datang menyimpangi jalan, adalah cantik, baik dan bagus untuknya dan menjadilah dia dari kalangan orang-orang yang bersabar.. Bukan mudah untuk membina feeling sebegini.. Ia perlu tekad dan muhasabah yang besar.. Ramai orang boleh mengucapkan alhamdulillah di saat kemenangan mendatanginya tapi hanya sekelumit yang mengucap syukur dan memuji Allah swt saat kesusahan datang menimpa-nimpa...

Tarbiyyah, menghidangkan manusia-manusia dari kelompok yang kedua ini. Yang ikhlas dan istiqamah, sekalipun di uji.. Walaupun hakikatnya hatinya tetap merasa berat, dia lelah dan penat, tapi kerana ruh tarbiyyah sudah mengalir dalam pembuluh-pembuluh darah, maka seseorang itu akan tetap bangun dan meneruskan nafas dakwahnya.. Walaupun segala sesuatu disisinya tidak membantu tarbiyyah dirinya, dia akan tetap berkilau.. Kerana hari ini dia logam Islam. Bukan lagi logam jahiliyyah.

Lihatlah diri kita sendiri. Entah dari mana-mana je Allah swt kutip kita, kemudian bersihkan kita, lepas tu Allah swt celup celup kita dengan sebahagian tarbiyyah ini sehingga mata kita yang diselaputi debu-debu jahiliyyah tu akhirnya bersih, cerah, terang, nampak.. Jadi, sebagaimana tarbiyyah boleh dan telah mengubah kehidupan kita, membersihkan diri kita, memberi harapan dan wawasan baru kepada kita, seperti itulah juga kita sepatutnya berharap, berusaha dan berazam sepenuh hati dengan penuh yakin bahawa tarbiyyah ini akan mampu membawa perubahan kepada umat ini juga.

Amal tidak akan berbuah tanpa dibajai keyakinan.. Sesuatu yang kita tidak yakini dengan jelas, kita tidak akan yakin untuk menyampaikannya, apatah lagi memperjuangkannya sehabis daya.. Kalaupun kita berjuang untuknya, kita pasti tidak akan lama, kerana kita menjadi tidak selesa kerana terbeban dengan ketidakjelasan dan kekusutan.

Nafas dakwah masih panjang dan belum berakhir. Dan kita akan terus menyaksikan rombongan demi rombongan manusia meninggalkan bangunan-bangunan dan kompleks-kompleks jahiliyyah kepada binaan-binaan Islam dan titian-titian jannah.

Siapa sangka, suatu hari nanti, mungkin ikhwah yang duduk disebelah kita, 5 tahun yang lalu adalah seorang mat rempit. Tapi Allah menyelamatkannya. Dari jalan raya, dia kini di jalan dakwah. Dan hari ini dia bersama-sama kita. Tidak mahukah kita melabuhkan bahtera penyelamat ini agar seluruh umat dapat berlayar bersama-sama kita?

Allahuakbar.

Betapa besarnya tanggungjawab kita...

... Ibu Nora ...
05/10/2011.. 0022

Isnin, 3 Oktober 2011

Bila Sang Pungguk Berbicara

Apabila Sang Pungguk berbicara, dunia sekeliling sepi dan sunyi bagi mendengar tutur kata Sang Pungguk yang selama ini diam membisu seribu bahasa sambil memandang bulan tanpa kerdipan mata.

Diamnya Sang Pungguk kerana memikirkan diri ini hanyalah seorang hamba, tiada daya upaya, tiada harta yang mampu untuk berbicara.. Daya seorang hamba hanya akur pada suruhan Tuannya, tiada lagi masa atau ketika untuk memikirkan kehendak diri dan kepuasan hati. Apa yang terlintas dihati hanyalah suruhan Tuan yang mesti dipenuhi.

Sang Pungguk masih belum berbicara, apa yang terlintas hanyalah muhasabah seorang hamba, bertelaku, diam membatu diri sambil fikiran jauh melayang memikirkan kebesaran Ilahi. Kecil dan hinanya diri ini untuk berbicara walau sepatah perkataan, adakah kalam yang bakal keluar dari mulut kecil ini diredhai oleh Tuan empunya kalam?

Dunia masih diam membisu, sunyi seketika menunggu saat Sang Pungguk berbicara. Akan tetapi Sang Pungguk masih diam membisu dan masih memikirkan kalam apakah yang mampu seorang hamba berbicara. Supaya kalam hamba itu tetap kalam hamba dan bukanlah kalam Sang Pencipta. Takutnya Sang Pungguk kepada Sang Pencipta kerana dalam diri seorang hamba tiada apa yang hendak dibicarakan.

Akhirnya Sang Pungguk berbicara jua, katanya "Terima kasih wahai Sang Pencipta kerana hamba masih seorang hamba dan hamba bersyukur dengan rahmat dan kurniaan Mu". Dunia yang sunyi dan sepi mula kembali berbicara, selama Sang Pungguk diam membisu itu sahajakah yang ingin dibicarakan? Kenapa Sang Pungguk tidak menceritakan kisah dirinya yang lama menyepi diri?

Akan tetapi Sang Pungguk pun kembali kepada kedudukan asalnya mendiam diri sambil merenung rembulan mengambang di tengah malam yang sunyi.

Dunia juga tidak lagi mempedulikan Sang Pungguk kerana baginya biarlah Sang Pungguk dengan caranya kerana dunia tetap dunia dan Sang Pungguk tetap Sang Pungguk.

Sekian dulu kisah Apabila Sang Pungguk berbicara, tiada kalam, tiada suara, hanya huruf tersusun mengikut rentakNya..

... Ibu Nora ...
03/10/2011.. 2158