Khamis, 21 Julai 2011

Sekadar Mengingati

Bismillahirrahmannirrahim

Jangan marah la klu saya kata kebanyakan dari kita tak guna masa dengan betul. Padahal, tentang masa Allah dah sumpah awal-awal.. Kewajipan melebihi masa yang ada. Selalu diberi peringatan tentang itu.Tapi manusia ni selalu je lupa. Klu boleh hari-hari orang lain kena ingatkan. Nak harapkan diri sendiri? Agaknya, masa malaikat maut datang baru tak lupa. Nauzubillah. Habis tu, nak buat macam mana? Tapi betullah. Dan, istiqomah tu susah. Susah ke? Ntah. Bergantung pada individu dan iman seseorang. Kalau tak lupa dan selalu orang ingatkan, insyaAllah boleh istiqomah. Tapi tu la, sampai bila nak harapkan orang. Alahai masa. Saya minta maaf. Selalu tak urus engkau elok-elok. Saya harap, bila dah tertulis kat sini. Saya akan sentiasa di ingatkan. Besar kemurkaan Allah, kalau ucap apa yang tak dibuat.. Tolong semua, ingatkan saya tentang masa. Saya takut nanti kat akhirat, masa akan dakwa saya. Dan, akan dakwa saya juga sebab tak ingatkan anda semua...Wallahua'lam

Isnin, 18 Julai 2011

Raikan Perbezaan Pendapat

Perbezaan pendapat dan pandangan yang berlainan adalah sesuatu perkara yang lumrah. Apabila ia berlaku jangan sesekali ada di antara kita dengan mudah membuat kesimpulan yang menjurus kepada prasangka kononnya ia bertujuan memburukkan sesiapa. Oleh itu jika tercetus sesuatu isu antara kita dan terwujudnya perbezaan pendapat atau terbentuk sesuatu teguran, ia seharusnya ditangani dengan sebijak-bijaknya. Janganlah pula kita terlalu gopoh ke hadapan dengan membuat andaian yang bukan-bukan atau berhujah dengan penuh emosi sehingga terwujud cabar-mencabar. Sebaliknya teguran atau sesuatu pandangan itu perlu diteliti dan dihalusi sertai dikaji kebenarannya.
Kita haruslah berhati-hati apatah lagi jika kita cuba bertindak sebagai ‘orang perantaraan’ bagi menjelaskan sesuatu perkara.

3 faktor yang digariskan oleh Islam boleh menjayakan sesuatu teguran itu ialah:

1. Tidak merendahkan ego orang yang ditegur
2. Mencari waktu yang tepat
3. Memahami kedudukan orang yang ditegur

Islam memberi panduan yang jelas dalam kita memberi teguran dan bagaimana sikap kita apabila ditegur. Kita tidak harus melatah apatah lagi terlalu emosional sehingga menyebabkan kita melafazkan kata-kata yang tidak sepatutnya. Semua itu tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya hanya akan mengeruhkan lagi keadaan, ingatlah apa yang kita perkatakan pasti akan dinilai oleh manusia. Kalau kita gagal mengawal perasaan kita berhujah, pasti akan menyebabkan berlaku tuduh-menuduh yang kesudahannya akan mencetus permusuhan antara kita.

Islam tidak hanya mengajar etika menegur umat seagama tetapi Islam juga mengajar kita bagaimana cara menegur yang betul kepada umat daripada agama lain. Teringat firman Allah

‘‘Berbicaralah kalian berdua kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut.”

Oleh itu kita perlulah berhemah apabila menegur “kesilapan” orang lain. Jangan kita mudah ikut hati atau emosi kita tanpa menyiasat keadaan sebenar. “Kesilapan” orang lain mungkin bukan “kesilapan” bagi mereka, kerana mungkin mereka ada sebab-sebab yang kukuh yang mendorong mereka membuat sesuatu perkara. Jadi, eloklah kita siasat atau tanya dengan cara berhemah untuk mengetahui kedudukan sebenarnya... Wallahu'alam.

... Ibu Nora ...

Ahad, 17 Julai 2011

Kebahagiaan

Mungkin Tuhan sengaja mahu kita berjumpa dengan orang yang salah sebelum menemui insan yang betul supaya apabila kita akhirnya menemui insan yang betul, kita akan tahu bagaimana untuk bersyukur dengan nikmat pemberian dan hikmah di sebalik pemberian tersebut.. Memang benar yang kita tidak akan tahu apa yang telah kita punyai sehinggalah kita kehilangannya dan juga benar bahawa kita tidak tahu apa yang kita rindukan sehinggalah 'ia' datang..

Memberi seseorang seluruh cinta bukanlah satu kepastian yang mereka akan menyintai kembali! Jangan harapkan cinta sebagai balasan.. Nantikan sahaja ia untuk mekar di dalam hati mereka tapi sekiranya ia tidak, pastikanlah ia terus mekar di dalam hati kita.. Ia cuma mengambil masa seminit untuk jatuh hati pada seseorang, satu jam untuk menyukai seseorang, satu hari untuk menyintai seseorang tetapi ia mengambil masa sepanjang hidup untuk melupakan seseorang..

Jangan pandang kepada kecantikan kerana boleh jadi ianya palsu.. Jangan kejar kemewahan kerana ianya akan susut.. Carilah seseorang yang membuatkan diri tersenyum kerana ia cuma memerlukan sekuntum senyuman untuk mencerahkan hari yang suram.. Carilah yang membuatkan hati mekar tersenyum.. Akan tiba satu ketika di dalam kehidupan apabila teramatkan rindukan seseorang sehingga ingin menggapainya dari mimpi dan memeluknya dengan sebenar.. Mimpilah apa yang ingin kita mimpikan, pergilah ke mana-mana yang ingin kita tujui dan jadilah apa yang kita inginkan kerana hanya memiliki satu kehidupan dan satu peluang untuk melakukan semua perkara yang ingin kita lakukan.

Semoga kita memiliki kebahagiaan yang cukup untuk membuatkan diri menarik, percubaan yang cukup untuk membuatkan kita kuat, kesedihan yang cukup untuk memastikan kita adalah seorang insan dan harapan yang cukup untuk membuatkan kita bahagia.. Selalu bayangkan diri di dalam diri seseorang.

Kebahagiaan seseorang manusia tidak semestinya dalam memiliki segala yang terbaik.. Mereka hanya membuat yang terbaik dalam hampir apa saja yang datang di dalam perjalanan hidup mereka.. Kebahagiaan terletak kepada mereka yang menangis, mereka yang terluka, mereka yang telah mencari dan mereka yang telah mencuba.. Hanya mereka yang boleh menghargai kepentingan manusia yang telah menyentuh hidup mereka.

Cinta bermula dengan senyuman dan berakhir dengan tangisan.. Masa depan yang cerah sentiasa berteraskan kehidupan yang lalu yang telah dilupakan.. Kita tidak boleh meneruskan kehidupan dengan sempurna sehingga kita melupakan kegagalan dan kekecewaan masa silam...

... Ibu Nora ...

Dugaan Hidup

Ya, tetaplah melangkah, meski tertatih. Teruslah bergerak, walau begitu banyak masalah yang melilit diri. Tidaklah masalah itu datang menghadang, kecuali sebatas kemampuan diri menanggungnya. Seberat apapun masalah itu terasa, diri sejatinya sanggup menghadapinya. Sungguh Dia tak akan pernah membebani kita, hamba NYA, kecuali sebatas yang kita sanggup menanggungnya.

Namun memang terkadang, masalah itu terasa begitu menghimpit. Seakan membuat tulang remuk redam. Membuat kaki ini terasa begitu sulit bergeser. Apalagi bila masalah yang menghadang itu berbilang jumlahnya. Belumlah selesai masalah yang satu, datang masalah lain menghampiri. Masalah-masalah itu tak pernah mahu tahu apakah kita siap atau tidak, apakah hati diri sedang lapang ataukah sempit.

Namun berbahagialah diri, kerana datangnya masalah adalah tanda bahawa Dia menyayangi kita. Dia tak lupa pada kita. Dia anugerahkan masalah agar diri kita menjadi peribadi yang lebih baik. Ibarat seorang anak yang sedang menempuh pendidikan, setiap hendak naik tingkat, maka ia diberikan ujian sebagai bahan apakah ia layak untuk menempuh tingkat yang lebih tinggi atau tidak.

Apapun akhir dari masalah yang kita hadapi itu, tetaplah berfikir positif. Belajarlah dari setiap proses yang dijalani. Kerana bahagia dan sedih yang kita rasakan, hanyalah akhir dari proses yang kita jalani. Sungguh begitu banyak pelajaran yang akan dipetik selama kita menjalaninya, pelajaran yang tentu saja akan meningkatkan kualiti diri bila mampu kita sikapi dengan bijak.

Tetaplah melangkah diri, meski harus tertatih. Janganlah menjadi air yang diam, kerana air yang diam itu akan membawa keburukan..

... Hanyalah sebuah coretan kecil pengingat diri ...

... Ibu Nora ...

Khamis, 14 Julai 2011

Bicaraku Untukmu.. Duhai Hati

Sesekali hati mengeluh dengan kesusahan dan kepayahan hidup... Terasa pedih dan rapuh, sakitnya seperti tiada hati lain yang mampu mengerti... Namun adakah kita sedar bahawa ia adalah ujian dari Allah?.. Kepayahan itu sesungguhnya adalah satu bentuk tarbiyah-Nya kepada hati.
Pernah hati bersyukur kerana mendapat perhatian yang sedemikian dari Tuhannya?.. Terlebih banyak mengadu dari bertahmid rasanya.

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka di biarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak di uji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."
(Surah Al-Ankabut ayat 2-3)

"...dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir." (Surah Yusuf ayat 87)

Tak tersedarkah hati bahawa segala yang di berinya itu adalah nikmat; kebahagiaan adalah nikmat, sakit adalah nikmat, perit itu adalah nikmat.

Duhai hati, sedarlah, bukannya Tuhan mu tidak mendengar segala jerit perih, betapa pedih peritnya derita apa yang di alami, betapa segala yang hati ingin, tidak semua kan hati perolehi.. Bukankah Dia sudah terang-terang berfirman:

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (Surah Al-Baqarah ayat 216)

Nah, Allah sendiri telah siap mengatur segala rencana perjalanan hidupnya hati.. Mengapa harus merungut lagi dengan jalan yang di tempuhi?.. Duri-duri dan halangan itu adalah rahmat. Redha dan pasrah lah, wahai hati.. Tidak sedarkah kita bahawa setiap langkah, setiap kudrat, setiap butir bicara, kerlip mata dan denyut jantung selama ini semuanya nikmat yang Allah beri dan pinjamkan lepada kita?.. Selama ini, adakah setiap langkah dan kudrat di gunakan untuk ke jalan kebaikan? Adakah setiap butir bicara hanya yang baik dan berhikmah sahaja?.. Adakah kerlip mata dan sisa denyut jantung yang masih ada dimanfaatkan dengan amal ibadah?.. Allah berhak mutlak ke atas hati kita. Kenapa hati kita masih perlu persoalkan mengapa ujian diturunkan kepada kita?.. Layakkah hati-hati ini mendapat syurga milik Allah SWT?

"Hai kaumku, sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan sementara dan sesungguhnya akhirat itulah negeri yang kekal.. Barangsiapa mengerjakan perbuatan jahat, maka dia tidak akan di balasi melainkan sebanding dengan kejahatan itu. Dan barangsiapa mengerjakan amalan yang saleh baik laki-laki maupun perempuan sedang ia dalam keadaan beriman, maka mereka akan masuk syurga, mereka diberi rezeki di dalamnya tanpa dihisab." (Surah Al Mu'min ; ayat 39-40)

Duhai hati, janganlah terkorban dengan dunia... sesungguhnya hidup hati sebenarnya untuk mencari mati yang sempurna...

... Ibu Nora ...

Cinta.. Biarkan Saja

Persinggahan dari perjalanan cinta adalah ungkapan rasa.. Ungkapan tentang segala rasa yang selama ini terus hadir dan membayangi hati mu.. Saat kegelisahan itu mulai menjadi satu siksa kecil di hati mu, kau kan mulai merasa perlu mengungkapkannya.. Kau mesti hilangkan segala ego mu.. Kau mesti hancurkan segala malu mu.. Semuanya.. Kerana saat itulah saat titik terendah dari mu.. Meminta hati tak semudah dari meminta lainnya.. Pada dasarnya, saat kau mengungkapkan rasa yang ada di hati mu adalah sama halnya dengan kau menyerahkan hati mu untuknya.. Kan kau serahkan satu-satunya hati mu untuknya.. Tak hanya separuh, tapi semuanya.. Mungkin berat rasanya untuk bertaruh pada dua rasa.. Tapi inilah nyata.. Nyatakan saja rasa itu padanya.. Biarkan ia yang kan beri jawaban pasti kepada mu. Kerana itu lebih baik bagi mu...

Tapi jika yang kau temukan adalah berakhirnya kisah cinta mu.. Tak perlu menangis.. Kerana tangis takkan merubah segalanya.. Takkan mampu beri tenang untuk hati mu. Tetap tegakkan kepala mu. Tatap pada apa yang kini ada di hadap mu.. Jika kau tak mampu mendapatkan hatinya.. Jangan takut.. Jangan anggap semuanya telah berakhir.. Kan ada cinta-cinta sepertinya yang berserak di sekeliling mu.. Tersenyumlah dan cuba kembali untuk kembali menanam cinta di taman hati mu.. Cinta yang baru.. Yang hangat.. Yang indah... Kan ada cinta lain yang lebih dari cintanya.. Yang kan bersedia untuk berjalan dan bergandingan tangan bersama mu.. Cinta yang mungkin sama sekali tak pernah kau kira sebelumnya.. Kan ada cinta lain yang lebih indah dari cintanya.. Yang kan setia menjalani hari bersama mu.. Di senyum dan tangis mu.. Di sunyi dan ramai mu.. Hingga kan kau temukan kebahagiaan di hati mu..

Bukankah cinta adalah rahsia.. Yang takkan pernah kau tahu bila ia kan menghampiri mu atau meninggalkan mu..

... Ibu Nora ...

Rabu, 13 Julai 2011

Bahagia Itu Pasti Hadir

Siapa yang pernah merasakan tahulah betapa peritnya. Benarlah kata pujangga,“sakit yang paling dahsyat ialah mencintai seseorang, tetapi tidak berbalas.” Aneh sekali derita sakit putus cinta ini… benci, tapi rindu. Dendam tapi sayang. Dunia terasa sempit, dada terasa mencengkam.

Orang yang paling boleh menyakitkan hati kita ialah dia yang pernah paling kita cintai. Ramai orang yang hancur hidupnya kerana putus cinta. Terlupakah pesan bijak pandai:

“Cintailah sesuatu itu sekadar saja, berkemungkinan ia akan menjadi kebencianmu pada suatu ketika, bencilah yang engkau benci itu sekadar saja, berkemungkinan ia akan menjadi kecintaanmu pada satu ketika.”

Ketahuilah, seseorang pernah gagal dalam percintaan, kemungkinan dia akan terus melihat kebahagiaan itu laksana pelangi. Tidak pernah di kepalanya sendiri, selamanya di atas kepala orang lain.Bagaimana hendak dihadapi segalanya?

Putus cinta adalah bukti bahawa tidak ada cinta sejati kecuali cinta yang diasaskan oleh cinta Allah. Cubalah anda fikirkan, apakah punca pihak sana atau pihak sini memutuskan cintanya? Mungkin kerana hadirnya orang ketiga? Mungkin dihalang oleh orang tua? Mungkin kerana sudah jemu? Macam-macam alasan diberikan. Ketika itu lupa segala sumpah setia, akujanji, lafaz janji yang dimetrai sewaktu sedang ‘syok’ bercinta. Hingga dengan itu mereka yang dikecewakan seolah-olah tidak pernah mengenal orang yang dicintai itu. Dia benar-benar berbeza seolah-olah dia tidak pernah kita kenali!.

Putus cinta bukanlah pengakhiran segalanya. Ia adalah satu permulaan yang baik jika ditangani dengan positif. Memanglah di awalnya kita rasa sukar menerima hakikat. Tetapi percayalah… kita tetap ada Allah. Semuanya dari Allah. Dan segala yang datang dari Allah ada baik belaka, walaupun belum terserlah kebaikannya pada pandangan kita. Namun yakinlah, pandangan kita terbatas, pandangan Allah Maha Luas. Sesuatu yang kita cintai, belum tentu membawa kebaikan kepada kita. Manakala sesuatu yang kita benci, belum tentu memudaratkan kita.

Sebagai hamba Allah, renungilah maksud firman Allah dalam surah Al Baqarah, ” Ada sesuatu perkara yang kamu cintai tetapi itu membawa keburukan kepada kamu. Ada pula sesuatu perkara yang kamu benci tetapi sebaliknya ia membawa kebaikan kepada kamu. Sedarlah kamu tidak mengetahui, Allah-lah yang lebih mengetahui.”

Kita inginkan orang yang kita cintai itu terus setia bersama kita. Biar sampai menempuh alam perkahwinan, beranak cucu hingga ke akhir hayat. Segala kata pengukuhan telah diberikan.

Kita rasa dialah terbaik untuk kita. Tetapi entah macam mana, dia berpaling tadah. Waktu itu kita terhenyak lalu berkata, “mengapa aku terpaksa menanggung derita ini.”Kita frust kerana merasakan dialah yang terbaik, tercantik, ter… ter… segala-galanya. Sukar membayangkan ada orang lain seumpama dia. Cinta diberikan seluruhnya. Ketika si dia pergi tanpa berpaling, kita berkata, “ya Tuhan, kenapa aku yang terpaksa menerima nasib ini?”

Harga diri orang yang putus cinta selalu rendah. Penilaian diri terhadap dirinya sendiri menjunam ke paras terendah. Rasa hina berbanding kekasihnya yang pergi. Sedangkan jika masih ada iman bersemi di dada… kita masih boleh berfikir dan berhenti seketika, lalu berkata, “Tuhan ada!” Pujuklah hati dengan apa yang telah Allah tegaskan bahawa yang baik pada pandangan kita belum tentu baik dalam realitinya. Katakan, dia yang pergi itu bukan yang terbaik. Mungkin dia terbaik, tapi untuk orang lain. Dan yang terbaik untuk kita pasti datang sebagai gantinya!

Jangan katakan kenapa aku yang kena? Jangan labelkan aku yang malang. Tetapi katakan, aku yang terpilih. Terpilih untuk putus cinta dengan manusia supaya ‘terpaksa’ bercinta dengan Allah. Memang begitulah rahmat Tuhan, kekadang DIA memutuskan untuk menyambungkan. Putus cinta dengan manusia, tersambung cinta dengan Allah. Inilah hikmah di sebalik kesusahan, kemiskinan, kegagalan, dan termasuklah putus dalam bercinta. Dalam ujian kesusahan selalunya manusia lebih mudah ingatkan Allah.

Alangkah indahnya jika orang yang frust cinta itu kembali kepada Allah secara sihat – maksudnya, bukan sekadar merintih, mengadu, merayu atau minta mati segera. Tetapi tersentak oleh satu kesedaran bahawa cinta Allah itulah yang sejati.

Allah tidak pernah mengecewakan seperti kekasih mengecewakan. Seorang sahabat berkata, “mencintai seorang yang tidak mencintai kamu adalah sia-sia, menyia-nyiakan orang yang mencintai adalah berbahaya.” Cubalah fikirkan… siapa yang paling mencintai kita? Siapakah yang kita sia-siakan selama ini? Fikir…

Dan tersentak oleh hakikat itu, kita mula berfikir… barangkali putus cinta ini adalah rahmat yang tersirat, “Allah menjemput aku untuk mencintai-Nya!” Sedarlah, bahawa Allah adalah Tuhan yang sentiasa mengasihi kita. Tetapi DIAlah Tuhan yang sering kita sia-siakan. Frust cinta itu hakikatnya untuk menyambungkan cinta kepada-Nya. Ketika itulah orang yang frust cinta akan benar-benar terasa bahawa dia terpilih, bukan tersisih!

Saya punya banyak cerita betapa ramai pasangan suami-isteri yang bahagia bersama ‘orang’ yang mereka tidak sangka apalagi harapkan sebelumnya. “Rugi, buang masa mengenang kekasih dulu.” “Allah ganti yang lebih baik.” “Tak sangka, kami akan serasi begini.” Begitulah suara-suara ‘testimonial’ daripada orang yang frust bercinta tetapi akhirnya berjaya melalui kehidupan berumah-tangga dengan orang yang lebih baik (untuk mereka).

Ya, pada waktu ‘terkena’ dulu belum nampak lagi, sebab itu terasa marah, kecewa, dendam dan benci. Tetapi apabila masa berlalu, segalanya bertukar menjadi syukur, beruntung dan terselamat. Mujur putus dengan dia. Beruntung tidak jadi dengan dia!

Begitulah ilmu kita yang terbatas dibandingkan dengan ilmu Allah yang Maha Luas. Yang penting dalam apa jua keadaan sekalipun, iman mesti diperkukuhkan dalam dada. Ingat Tuhan. Cintailah DIA, pasti Allah akan mendorong orang yang dicintai-Nya untuk mencintai kita. Cinta itu bagai ‘mata rantai’ yang sambung menyambung sesama manusia yang akhirnya bersambung kepada cinta Allah.

Percayalah frust dalam bercinta itu satu ujian. Ujian dalam kehidupan. Ingatlah bahawa alam adalah sebuah ‘sekolah’ yang besar. Setiap manusia adalah para pelajarnya. Dan kita terpaksa belajar berterusan. Hidup adalah satu siri pelajaran yang tersusun rapi untuk difahami dan dihayati sepanjang hayat... Wallahu'alam

... Ibu Nora ...

Allah Sayang Kita

Bila kita cuba nak kuat.. Allah uji kita sehingga kita lemah...
Bila kita menangis kerana tiada daya melawan.. Allah suruh kita sabar...
Bila kita bersabar.. Allah uji kita lagi..
Dan semakin itulah kita merintih mengadu yang kita tak mampu...
Tapi apa Allah kata?

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم

"Wahai orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan)."
(Surah al-Imran : 200)

"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya"
(Surah al-Baqarah : 286)

Ya dan sekarang saya semakin kuat dan tabah. Itulah saya >.<


Ya Allah.. Sesungguh aku adalah hamba Mu dan anak dari hamba lelaki dan hamba perempuan Mu.. Hidup ku dan mati ku di tangan Mu.. Telah berlaku qadha' Mu pada ku dan sungguh adil hukuman yang Engkau putuskan terhadap ku.. Aku memohon kepada Mu dengan semua nama yang Engkau miliki.. Yang dengannya Engkau namakan diri Mu sendiri.. Yang Engkau cantumkan dalam kitab Mu.. Yang telah Engkau ajarkan kepada seseorang di antara makhluk Mu (Nabi Mu).. Agar kiranya Engkau berkenan menjadikan Al-Quran sesuatu yang rimbun dalam hati ku,cahaya dada ku, penglipur kesedihan ku dan pengusir kecemasan ku... Subhanallah

... Ibu Nora ...

Bangunlah Dari Kegagalan


Gagal adalah sesuatu perkara yang semua orang rasa... Seperti setiap kali kita menyarung pakaian... Ia adalah pengalaman manusia... Ada orang yang mampu menangani kegagalan dengan baik, ada yang tidak... Kenapa? Bagaimana sesetengah orang itu begitu berjaya setelah bangkit dari satu kegagalan yang amat memeritkan....

Kita tidak menganggap ianya satu kegagalan yang mutlak... Kegagalan bagi kita bukan kerana kelemahan diri atau kerana kekurangan sifat pada diri sendiri... Tetapi kita memikirkan ‘ setidak-tidaknya kita mencuba ’... Orang yang bersungguh-sungguh mengejar impian juga sering kecundang di pertengahan jalan, tetapi mereka tetap meneruskan perjalanan kerana menganggap ianya sebagai sebahagian dari cabaran yang harus di tempuhi... Kita tidak akan bersedih atau kecewa dengan kegagalan tersebut, tetapi terus berfikir menilai semula strategi yang harus di ambil dan mencuba lagi... Kali kedua gagal, kita tidak akan merasa susah hati malah penuh keyakinan kerana kita akan terus mencuba lagi dan lagi sehingga berjaya....

Kita menggunakan kegagalan itu sebagai satu pengalaman yang amat berharga... Menganalisa apa yang telah berlaku, di mana silapnya dan kenapa... Apa yang boleh di lakukan untuk membetulkan kesilapan itu dan melakukannya secara berbeza pula untuk percubaan yang seterusnya... Dengan menggunakan pengalaman kegagalan sebagai sempadan, kita setidak-tidaknya menghindar dari mengulangi kesilapan yang sama....

Kadang kala kita gagal bersebab... Mungkin kerana hati kita tidak bersungguh-sungguh, maka usaha yang kita laksanakan juga tidak 100%... Mungkin juga kerana percaya bahawa diri tidak mampu untuk mencapai kejayaan tersebut... Dan kadang kala juga ianya bukanlah peluang yang baik... Secara umumnya, apabila kita gagal ada sebabnya... Nilaikan dan timbangkan sebabnya kenapa... Carilah peluang baru dan pengalaman yang lepas akan membantu kita memilih peluang yang lebih baik dan lebih sesuai...

Bersyukurlah kerana di anugerahkan pengalaman tersebut... Besar kesannya ke atas emosi dan jiwa bila kita bersyukur di atas pengalaman kegagalan tersebut yang mana mampu membantu kita maju bertapak-tapak ke hadapan... Kadang kala menulis dan meluahkan apa yang tersirat dalam dada dapat membantu melapangkan dada, menaikkan semangat dan dapat menukar kegagalan kepada pengalaman yang berharga kepada diri sendiri...

Kegagalan itu berlaku kepada sesiapa sahaja... Jangan ragu-ragu untuk meminta pertolongan dan nasihat dari yang lebih arif... Kerana mereka yang lebih dulu makan garam tidak akan mensia-siakan harapan kita... Orang yang telah berjaya sebenarnya sudah melalui pelbagai siri kegagalan sebelum mereka mengecap kemanisan sebuah kejayaan... Oleh itu janganlah berputus asa hanyalah kita gagal sekali sahaja...

Seperti kanak-kanak yang sedang berlari dan bermain, mereka jatuh dan terluka... Tetapi mereka tetap tidak serik berlari dan bermain lagi kerana mereka hanya fokus kepada keseronokan bermain itu... Mereka sudah lupa akan kesakitan yang sementara semasa jatuh... Jadilah seperti itu... Jangan takut untuk jatuh, terluka dan sakit... Kemudian bangkit kembali untuk terus mengejar impian yang masih jauh untuk di gapai....

Ketawakan diri sendiri... Kita semua membuat kesilapan dan barang siapa yang mampu mentertawakan diri sendiri dek kebodohan dan kesilapan yang di lakukan adalah mereka yang cepat sembuh dari kekecewaan kerana kegagalan itu... Kegagalan adalah sebahagian dari kehidupan... Terimalah ianya sebagaimana anda menerima kejayaan... Belajarlah darinya, anggaplah ianya sebagai sebahagian dari pengajaran dan kesempatan untuk menambahbaikkan diri...

Ingatlah... Kegagalan adalah sebahagian dari kehidupan ini... Semua orang akan merasai kegagalan dalam kehidupan masing-masing... Tiada ada sesiapa pun yang terkecuali... Wallahu'alam

... Ibu Nora ...


Lumrah Hidup


Tuhan menetapkan bahawa setiap manusia itu tidak akan mendapat kesenangan sahaja atau kesusahan sahaja.. Masing-masing daripada kita akan mengalami pasang-surut dalam hidup... ada masa senang, ada masa susah... Justeru dalam kehidupan ini, kita tidak boleh terlalu gembira kerana selepas kegembiraan itu mungkin muncul kesusahan... Begitu juga kita tidak boleh terlalu sedih kerana mungkin selepas itu Allah swt datangkan perkara-perkara yang menggembirakan.

Kesedaran tentang hukum Sunnahtullah ini akan memberi ketenangan dalam hidup.
Apabila kita di timpa kesusahan, rasakan dalam hari... ya, selepas ini akan datang kesenangan.. Sabarlah sebentar... Dan apabila datang kesedaran, kita tetap tidak alpa... ya, selepas ini akan datang kesusahan... Bersiap-sedialah.. Hakikatnya, tidak ada kesenangan dan kesusahan yang abadi di dunia ini.

Kehidupan adalah satu perubahan yang berterusan... Cabaran kita bukan untuk mengawal perubahan itu tetapi mengubah diri bagi menyesuaikan diri dalam setiap keadaan yang berubah-ubah itu.. Fahamilah hakikat ini... Bila yang di buat 'serba tidak kena' itulah hakikatnya satu kehidupan.. Hidup bukanlah yang serba kena, serba senang dan serba mudah.. Hidup tidak selalu indah, justeru di situlah keindahan kehidupan... Wallahu'alam..

... Ibu Nora ...



Selasa, 12 Julai 2011

Assalamualaikum...

Sesekali apabila saya ingin menulis, saya bermula dengan rasa takut-takut. Takut memikirkan penilaian orang pada tulisan saya walaupun mungkin hanya beberapa kerat sahaja yang membaca. Takut tersalah tulis. Takut macam-macam. Benda-benda seperti ini ada kalanya menyekat saya.

Hakikatnya menulis tidak boleh sekadar suka-suka atau untuk syok sendiri apalagi tulisan itu diletakkan dalam ruangan umpamanya yang tentu dapat dibaca oleh sesiapa sahaja. Apa sahaja yang ditulis adalah tanggungjawab penulis yang akan dituntut sama ada di dunia atau di akhirat. Saya cuba mengelak atau mengajak orang lain meremehkan perkara ini.

Saya telah berniat daripada awal bahawa saya menulis untuk mengingatkan diri sendiri dan sesiapa sahaja yang membaca tulisan saya. Urusan dunia yang sering menghalang saya untuk mengingatkan orang lain diharap sedikit tertebus dengan apa yang saya sampaikan melalui tulisan. Maka, saya sangat bimbang apa yang saya tulis gagal menyentuh hati saya sendiri apalagi orang lain. Hati yang tidak bercahaya bagaimana mungkin dapat menerangi hati orang lain?




... Ibu Nora ...