Isnin, 18 Julai 2011

Raikan Perbezaan Pendapat

Perbezaan pendapat dan pandangan yang berlainan adalah sesuatu perkara yang lumrah. Apabila ia berlaku jangan sesekali ada di antara kita dengan mudah membuat kesimpulan yang menjurus kepada prasangka kononnya ia bertujuan memburukkan sesiapa. Oleh itu jika tercetus sesuatu isu antara kita dan terwujudnya perbezaan pendapat atau terbentuk sesuatu teguran, ia seharusnya ditangani dengan sebijak-bijaknya. Janganlah pula kita terlalu gopoh ke hadapan dengan membuat andaian yang bukan-bukan atau berhujah dengan penuh emosi sehingga terwujud cabar-mencabar. Sebaliknya teguran atau sesuatu pandangan itu perlu diteliti dan dihalusi sertai dikaji kebenarannya.
Kita haruslah berhati-hati apatah lagi jika kita cuba bertindak sebagai ‘orang perantaraan’ bagi menjelaskan sesuatu perkara.

3 faktor yang digariskan oleh Islam boleh menjayakan sesuatu teguran itu ialah:

1. Tidak merendahkan ego orang yang ditegur
2. Mencari waktu yang tepat
3. Memahami kedudukan orang yang ditegur

Islam memberi panduan yang jelas dalam kita memberi teguran dan bagaimana sikap kita apabila ditegur. Kita tidak harus melatah apatah lagi terlalu emosional sehingga menyebabkan kita melafazkan kata-kata yang tidak sepatutnya. Semua itu tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya hanya akan mengeruhkan lagi keadaan, ingatlah apa yang kita perkatakan pasti akan dinilai oleh manusia. Kalau kita gagal mengawal perasaan kita berhujah, pasti akan menyebabkan berlaku tuduh-menuduh yang kesudahannya akan mencetus permusuhan antara kita.

Islam tidak hanya mengajar etika menegur umat seagama tetapi Islam juga mengajar kita bagaimana cara menegur yang betul kepada umat daripada agama lain. Teringat firman Allah

‘‘Berbicaralah kalian berdua kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut.”

Oleh itu kita perlulah berhemah apabila menegur “kesilapan” orang lain. Jangan kita mudah ikut hati atau emosi kita tanpa menyiasat keadaan sebenar. “Kesilapan” orang lain mungkin bukan “kesilapan” bagi mereka, kerana mungkin mereka ada sebab-sebab yang kukuh yang mendorong mereka membuat sesuatu perkara. Jadi, eloklah kita siasat atau tanya dengan cara berhemah untuk mengetahui kedudukan sebenarnya... Wallahu'alam.

... Ibu Nora ...

Tiada ulasan: