Rabu, 5 Oktober 2011

Tarbiyyah Allah Itu Indah

Setiap orang pasti ada titik-titik dalam hidupnya yang meninggalkan kesan besar dan membawa perubahan besar kepada dirinya.. Alhamdulillah, pertemuan aku dengan sebuah dunia sukar tapi indah yang bernama tarbiyyah ini banyak sekali memperkenalkan aku kepada manusia-manusia biasa yang penuh kisah-kisah luar biasa dalam hidup mereka.. Aku selalu memberitahu hati ku bahawa Allah swt tidak akan pernah membiarkan satu detik pun dalam hidup kita itu berlalu sebagai sesuatu yang sia-sia.. Walaupun, ketika itu kita sedang melakukan perkara yang paling sia-sia dalam hidup kita, saat ia telah berlalu, dan kita menyesalinya, menjadilah detik sia-sia itu detik yang bermakna dan berharga sekarang, kerana ia mencetus taubat dan tekad untuk memperbaiki keadaan.. Kerana Allah swt adalah Al-Khaliq yang menjadikan segala sesuatu dalam sebaik-baik rupa dan keadaan.

Kerana itulah seorang mukmin itu meyakini bahawa jalan hidupnya dan segala onak duri yang datang menyimpangi jalan, adalah cantik, baik dan bagus untuknya dan menjadilah dia dari kalangan orang-orang yang bersabar.. Bukan mudah untuk membina feeling sebegini.. Ia perlu tekad dan muhasabah yang besar.. Ramai orang boleh mengucapkan alhamdulillah di saat kemenangan mendatanginya tapi hanya sekelumit yang mengucap syukur dan memuji Allah swt saat kesusahan datang menimpa-nimpa...

Tarbiyyah, menghidangkan manusia-manusia dari kelompok yang kedua ini. Yang ikhlas dan istiqamah, sekalipun di uji.. Walaupun hakikatnya hatinya tetap merasa berat, dia lelah dan penat, tapi kerana ruh tarbiyyah sudah mengalir dalam pembuluh-pembuluh darah, maka seseorang itu akan tetap bangun dan meneruskan nafas dakwahnya.. Walaupun segala sesuatu disisinya tidak membantu tarbiyyah dirinya, dia akan tetap berkilau.. Kerana hari ini dia logam Islam. Bukan lagi logam jahiliyyah.

Lihatlah diri kita sendiri. Entah dari mana-mana je Allah swt kutip kita, kemudian bersihkan kita, lepas tu Allah swt celup celup kita dengan sebahagian tarbiyyah ini sehingga mata kita yang diselaputi debu-debu jahiliyyah tu akhirnya bersih, cerah, terang, nampak.. Jadi, sebagaimana tarbiyyah boleh dan telah mengubah kehidupan kita, membersihkan diri kita, memberi harapan dan wawasan baru kepada kita, seperti itulah juga kita sepatutnya berharap, berusaha dan berazam sepenuh hati dengan penuh yakin bahawa tarbiyyah ini akan mampu membawa perubahan kepada umat ini juga.

Amal tidak akan berbuah tanpa dibajai keyakinan.. Sesuatu yang kita tidak yakini dengan jelas, kita tidak akan yakin untuk menyampaikannya, apatah lagi memperjuangkannya sehabis daya.. Kalaupun kita berjuang untuknya, kita pasti tidak akan lama, kerana kita menjadi tidak selesa kerana terbeban dengan ketidakjelasan dan kekusutan.

Nafas dakwah masih panjang dan belum berakhir. Dan kita akan terus menyaksikan rombongan demi rombongan manusia meninggalkan bangunan-bangunan dan kompleks-kompleks jahiliyyah kepada binaan-binaan Islam dan titian-titian jannah.

Siapa sangka, suatu hari nanti, mungkin ikhwah yang duduk disebelah kita, 5 tahun yang lalu adalah seorang mat rempit. Tapi Allah menyelamatkannya. Dari jalan raya, dia kini di jalan dakwah. Dan hari ini dia bersama-sama kita. Tidak mahukah kita melabuhkan bahtera penyelamat ini agar seluruh umat dapat berlayar bersama-sama kita?

Allahuakbar.

Betapa besarnya tanggungjawab kita...

... Ibu Nora ...
05/10/2011.. 0022

Tiada ulasan: