Isnin, 19 September 2011

Maafkanlah

Bukan mudah untuk memberi maaf, apatah lagi saat hati terluka dek tindakan insan lain pada hati kita. Saat jiwa masih berduka dan terluka, bagaimana untuk memaafkan insan yang menusuk pisau tepat di hati kita?.. Bersabarlah andai ada insan yang menguji hati, dan tolaklah segala perkara yang tidak baik itu dengan cara yang baik. Walau apa yang disebarnya, yang benar itu tetaplah benar dan yang salah itu tetaplah salah. Allah S.W.T. mengetahui segalanya. Tolaklah kejahatan itu dengan cara yang baik, pasti ada ganjarannya dari Ilahi.

Memberi maaf kepada insan lain sebenarnya memberikan kebaikan kepada diri sendiri lebih daripada insan yang melukakan hati kita. Apabila kita memaafkan, kita tidak lagi terjerumus dalam kancah dendam, benci membenci, tidak bertegur sapa, khianat mengkhianati, tikam belakang dan sebagainya yang memang akan menggelapkan hati kita. Maafkanlah insan lain sebagaimana diri mahu diampuni Allah atas segala salah dan kesilapan yang lalu. Maafkanlah sebelum hati mula dikerumuni zarah-zarah hitam yang bakal menggelapkan hati. Maafkanlah dalam kadar cepat sebagaimana diri mahu Allah mengampuni dalam kadar secepat mungkin juga atas segala dosa-dosa yang kita lakukan...

Usahlah menyimpan rasa permusuhan dalam hati. Biarkanlah apa yang berlalu itu hanyut pergi meninggalkan diri dan masa kini. Selalulah berpesan kepada diri agar tidak melampaui batas dalam keadaan bagaimana sekalipun, dan ingatlah bahawa Allah S.W.T. itu bersama dengan orang yang benar. Suburkanlah kesabaran dalam diri. Mungkin ini masanya untuk menguatkan hati yang sebelum ini amat lemah terkulai tanpa ujian yang menimpa hati... Wallahua'lam

... Ibu Nora ...
19/09/2011... 1632

Tiada ulasan: