Rabu, 10 Ogos 2011

Beginilah Kita Yang Bergelar Hamba

Ada waktunya hati manusia ini terlalu kerdil untuk menyimpan seluruh rasa dan kata-kata.

Ada waktunya manusia sudah tidak tahu apa yang dia rasakan di dalam hatinya seperti mana tangan yang sudah lama direndam dalam air yang panas, tidak terasa lagi kepanasannya.

Ada waktunya akal manusia tidak mampu mencongak asbab-asbab dia diuji, kerana dia tidak tahu apa yang lemah pada dirinya, apa yang perlu diperbaiki, apa yang belum cukup kuat. Tapi Allah tahu, dan Allah mahu mengukuhkannya, memperbaikinya dan menguatkannya.

Ada waktunya kebodohan manusia mencampak dia kepada waktu-waktu silam yang hitam. Hari semalam yang perit perlu ditelan. Kerana ia sudah berlaku dan ia akan kekal begitu. Tapi Allah selalu memberi harapan dengan mendatangkan hari yang baru. Suria yang bersinar-sinar di ufuk dhuha, seolah-olah bersuara, “bangunlah, inilah satu lagi peluang untukmu…”

Ada waktunya manusia jadi terlalu banyak berfikir, tapi sedikit sekali buah fikirnya membantu dirinya dan membantu mencerahkan redup dan mendung suasana umat hari ini. Bahkan menambahkan runsing dan pusing. Padahal yang kita lebih perlu sekarang adalah tindakan-tindakan berbanding perkataan-perkataan atau pemikiran-pemikiran.

Ada waktunya manusia jadi susah untuk bersangka yang baik kepada Allah swt. Padahal Dia ada. Dan Dia Maha Pengasih. Mustahil Dia suka melihat tangisan hamba-hambaNya. Kerana Dia terlalu penyayang. Lebih kasih kepada kita berbanding kasih ibu kita kepada kita. Mustahil Allah suka melihat hambaNya derita. Pasti Dia ada hadiah-hadiah untuk kita yang ditahan sebentar sebelum hadiah itu tiba kepangkuan kita, agar saat hadiah itu tiba, kita akan lebih berterima kasih dan bersyukur kepadaNya. Kerana Dia Tuhan, dan kita cuma hamba. Kalau mahu Dia boleh abaikan sahaja kita. Ada berbillion-billion manusia, tapi kita yang biasa-biasa ini, Dia tak pernah lupa nak bangunkan dari tidur, tak pernah lupa nak beri makanan, tak pernah lupa nak beri oxygen… Allah yang Raja seluruh alam itu, tidak pernah melupakan kita.

Begitulah insan. Fitrah-fitrah ini menjadikan kau dan aku makhluk-makhluk bergelar manusia.
Dan beginilah dunia. Kisah-kisah ini menjadikan dunia ini sifatnya semakin sementara.
Hidup-hidupkanlah diri kita saat kita masih hidup di dunia. Jangan mati sebelum waktunya..
Wallahua'lam

... Ibu Nora ...

3 ulasan:

Mohamad Shuhmy Shuib berkata...

Setiap amalan yg kita kerjakan haruslah dimulakan dengan niat. Niat ikhlas kerana Allah. bukan kerana inginkan balasan, menunjuk-nunjuk tetapi lakukanlah kerana kita hambaNya.. Allah Maha Mengetahui...dan Dia lebih tahu apa didalam hati setiap hambaNya. Oleh itu, sama samalah kita ikhlaskan hati dan diri kita terhadap apa yg kita kerjakan dari yg sebesar-besar hal sehinggalah yang sekecil-kecil hal. Wallahu'alam...

Ibu Nora berkata...

Alhamdulillah.. terima kasih atas komennya.. sememangnya ikhlas itu tidak mampu di lihat dengan mata.. teringat akan sabda Rasulullah kepada Mu’adz bin Jabal ra., ” Ikhlaskanlah niat, hal itu tentu cukuplah bagi amalmu yang sedikit.”.. Maka sesungguhnya benarlah amal itu harus disertakan niat yang ikhlas. Tanpa niat yang ikhlas, amal seseorang tidak akan diterima, meskipun banyak. Tapi dengan ikhlas, amal sedikit pun besar artinya di sisi Allah.. Wallahua'lam

Belajar Beramal Berakhlak berkata...

Alhamdulillah..